Friday 10 May 2019

Apa ada di sebalik nama?

Di sebalik nama ada pemiliknya. Pada saya memilih nama yang sesuai adalah suatu hal yang sulit. Hatta untuk menamakan kucing, saya perlu masa berhari-hari untuk mendapatkan suatu rasa bahawa nama itulah yang paling masuk dengan persona pemiliknya.

Nama itu manifestasi harapan yang dicita-citakan, doa yang baik yang bakal diulang-ulang selagi hayat dikandung badan dan usaha yang selari dengan keduanya. Harapan, doa dan usaha yang bersimbiosis agar pemiliknya bukan sekadar wujud tetapi memaknai kewujudannya. Oleh itu, nama Murni Sejadi tercetus dikala saya mencari arah dalam bidang yang saya mahu terokai secara serius iaitu terjemahan.

Murni dan Sejadi ialah dua perkataan yang saling terkait dalam penterjemahan. Murni bermaksud bersih, tidak mengandungi unsur-unsur asing, asli dan suci. Manakala Sejadi merupakan istilah Bahasa Melayu yang bermaksud azali atau innate dalam Bahasa Inggeris. Dalam konteks komunikasi, Sejadi merujuk sesuatu yang semula jadi atau dalam Bahasa Inggeris bermaksud natural. Rangkuman nama Murni Sejadi menampilkan suatu pengertian bahawa sesuatu perkara atau hasil itu bersih, asli dan semula jadi.

Murni Sejadi menggambarkan tekad seorang penterjemah dalam menghasilkan karya terjemahan yang tidak kalah malu dengan karya asal. Nama itu ialah satu falsafah yang tidak mudah untuk dipertahankan kerana proses menterjemah itu adakalanya boleh menjadi sangat sukar kerana perbezaan sistem, adat dan budaya antara bahasa yang ketara.

Begitulah pengharapan saya di sebalik nama Murni Sejadi. Pengharapan terhadap kerjaya baharu yang saya pilih. Perjalanan saya masih jauh. Masih banyak selok belok bahasa dan terjemahan yang perlu saya dalami untuk mencapai gagasan Murni Sejadi. Nama itu menjadi suluhan buat saya tatkala kebingungan mencari arah.

Murni Sejadi, semoga nama ini menatijahkan yang baik-baik yang selari dengan keredhaan Tuhan yang Maha Esa.

SZ
Petaling Jaya, Selangor
11 Mei 2019

Terjemahan, siapa sahaja boleh asalkan...

Terjemahan ialah suatu bidang yang menarik untuk diterokai. Sesiapa sahaja boleh menterjemah asalkan individu itu mempunyai penguasaan yang baik dalam dua bahasa dan mempunyai pengetahuan dalam selok belok menterjemah. 

Proses menterjemah bukan sekadar menukar daripada bahasa A kepada bahasa B. Jika menterjemah sekadar itu, jangan hairan jika penutur bahasa B tidak faham bahasanya sendiri kerana segalanya kelihatan dan berbunyi canggung. 

Terjemahan ialah suatu seni iaitu seni memindahkan maksud dan rasa yang sama sesuatu budaya ke dalam bahasa sasaran. Proses itulah yang menjadikan bidang terjemahan sesuatu yang menarik untuk diceburi. Bidang ini bukan sekadar menguji kecekapan bahasa seseorang malah turut mencabar penghayatan seseorang terhadap sudut tersirat di sebalik jalinan kata dan ayat. 

SZ
Bangi
11 Mei 2019

Apa ada di sebalik nama?

Di sebalik nama ada pemiliknya. Pada saya memilih nama yang sesuai adalah suatu hal yang sulit. Hatta untuk menamakan kucing, saya perlu mas...